HADIAHKAN BUNGA TULIP SEGAR UNTUK IBU TERSAYANG
Jualan Amal Tulip Tahunan KLM Kembali Menyambut Hari Ibu
Ingin mencari hadiah yang istimewa untuk Hari Ibu ini? Kini anda
boleh menceriakan hari istimewa ibu anda dengan menghadiahkan kepadanya
gubahan bunga tulip yang segar, yang dibawa masuk khas oleh Penerbangan
KLM Royal Dutch Airlines dari Belanda.
Bunga tulip yang amat cantik dan unik ini biasanya ditanam pada bulan
Oktober atau November supaya ia tumbuh pada musim sejuk dan berbunga
dengan mekar hanya seketika sahaja, dari pertengahan bulan April hingga
akhir bulan Mei.
Negara Belanda terkenal dengan perusahaan bunga tulip dan merupakan
salah sebuah negara yang mendominasikan pasaran bunga dan benih tulip.
Setiap tahun beribu-ribu pelancong melawat Belanda untuk menyaksikan
kebun bunga tulip yang luas dan menakjubkan.
Sungguhpun begitu, anda tidak perlu berjelajah jauh untuk menikmati
dan membeli bunga tulip. Kini anda boleh memilih gubahan bunga tulip
sendiri di Jualan Amal Tulip Tahunan KLM ke-14 yang akan diadakan pada
Sabtu, 12 Mei 2012, di Aras Concourse Plaza Sungei Wang, bermula jam
11:00 pagi.
Sebanyak 3,500 kuntum bunga tulip ditawarkan pada acara jualan amal
tersebut dan ini termauk bunga “double tulip” yang istimewa. KLM
berhasrat untuk mengutip RM28,000 daripada acara jualan ini bagi tujuan
amal.
Penerima sumbangan wang hasil daripada jualan amal tahun ini ialah
Persatuan Kanak-kanak Khas Ampang (“Special Children Society of Ampang”,
SCSOA). Bermula dengan usaha seorang ibu untuk mencari tempat asuhan
yang sesuai bagi anak perempuannya yang menghidap penyakit Down
Syndrome, inisiatif itu berkembang menjadi sebuah pertubuhan pendidikan
khas yang memenuhi keperluan pendidikan dan social golongan kanak-kanak
istimewa.
SCSOA kini menyediakan perkidmatan untuk 80 warga istimewa, antara 2
hingga 36 tahun. SCSOA membekalkan program pendidikan secara individu
dan berkumpulan untuk melatih kemahiran interpersonal dan komunikasi,
termasuk melaksanakan program asuhan tingkahlaku, sesi intervensi awal
untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun, latihan pra-vokasional dan
kemahiran hidup, serta aktiviti masa lapang dan rekreasi.
Di samping menyediakan program pendidikan yang berkualiti dan
bermakna demi merealisasikan potensi setiap kanak-kanak untuk menjadi
ahli masyarakat yang berdikari, berguna dan dihargai, SCSOA juga
menyediakan sistem sokongan yang mantap bagi ahli keluarga dan penjaga
kanak-kanak istimewa.
“Jualan Amal Tulip Tahunan KLM telah meraih banyak kejayaan selama 14
tahun ia diadakan hasil daripada sokongan padu yang diberikan oleh
masyarakat awam serta syarikat rakan kongsi yang terlibat. Kemurahan
hati mereka telah membantu beribu-ribu individu kurang bernasib baik
selama program ini diadakan. Pada tahun ini, dana yang dikutip akan
digunakan untuk meningkatkan kualiti latihan bagi kanak-kanak istimewa
di Persatuan Kanak-kanak Khas Ampang,” kata Cik Estee Ng, Pengurus Air
France-KLM bagi Malaysia.
“Bunga tulip merupakan simbol negara Belanda yang terkenal. Kami
ingin berkongsi keindahan dan keunikan bunga tulip dengan rakyat
Malaysia. Jualan Amal Tulip Tahunan KLM sempena sambutan Hari Ibu
merupakan peluang yang amat sesuai untuk tujuan tersebut,” tambah
beliau.
Jualan Amal Tulip Tahunan KLM 2012 dijangka akan mengulangi kejayaan
yang dicapai pada tahun-tahun yang lepas dengan adanya sokongan padu
daripada para rakan kongsi termasuk Rabobank dan Plaza Sungei Wang, yang
sekali lagi menjadi penaja lokasi rasmi buat tahun ke-14. Laman web
komuniti yang popular di Malaysia, Cari.com pula bermain peranan sebagai
media online rasmi bagi program ini.
Rabobank, peneraju perkhidmatan kewangan global dan juga pakar
perbankan untuk industri makanan and perniagaan pertanian, terus
berkomited dalam inisiatif ini. Dalam penglibatannya buat tahun keempat,
Rabobank akan menyumbang RM1 untuk setiap kuntum bunga tulip yang
dijual.
Dengan itu, harga bunga tulip dapat dikurangkan, dan pelanggan hanya
membayar RM5 dan bukan RM6 untuk setiap kuntum tulip. Tambahan pula,
Rabobank akan menghulurkan sumbangan tambahan sebanyak RM2 untuk setiap
kuntum bunga tulip yang dijual. Dengan ini, jumlah sumbangan daripada
pihak Raboban tahun ini diharap akan mencecah RM10,500.
Encik Kao Chee Ming, Pengarah Perniagaan Negara Rabobank di Malaysia
berkata, “Rabobank berbesar hati menjadi rakan kerjasama Jualan Amal
Tulip Tahunan KLM. Penglibatan ini sebahagian daripada tanggungjawab
sosial korporat kami. Ia bukan sahaja merupakan peluang untuk syarikat
menyumbang kepada masyarakat, malah para pekerja syarikat turut
mengambil bahagian dengan penuh ikhlas.”
“Every Days Is Mothers Day!”